Fadhilat Dan Keutamaan Surah At-Takaatsur

Surah At Takaatsur (سورة التكاثر) adalah surah ke-102 dalam Al Quran. Ia mengandungi lapan ayat, dan termasuk dalam kategori surah Makkiyyah yang diturunkan selepas surah Al-Kautsar.

.
Dinamakan At Takaatsur diambil dari perkataan ‘Takaatsur’ yang terdapat pada ayat pertama surat ini. At Takaatsur, ertinya bermegah-megahan atau berlumba-lumba untuk mendapat harta kekayaan, anak-pinak, pangkat dan pengaruh dengan sebanyak-banyaknya,
 .
Al-Alusi memetik daripada Ibn Abu Hatim daripada Sa`id Ibn Abu Hilal, para sahabat Rasulullah SAW menamakan surah ini dengan surah al-Maqbarah’ (perkuburan). Sesetengan Mushaf dan Imam al-Bukhari dalam tarjamah al-bab’ menamakannya dengan surah Alhakum’.
 .
.

A.    Kesinambungan Surah

Munasabat antara surah At-Takaatsur dan surah Al-Qari`ah (101) terdahulu sangat rapat dan erat.  Surah  terdahulu mengisahkan tentang Qiamat yang menggemparkan manusia dan  menjadikan  mereka  bagaikan  kalkatu yang berkeliaran tanpa mengetahui ke mana mereka akan pergi.
 .
Surah (102) At-Takaatsur yang mengiringi surah Al-Qari`ah pula menyatakan tabiat  manusia  suka  mengumpulkan harta, bermegah-megah  dengan  kekayaan dan  keluarga, menjadikan  mereka  lupakan Akhirat, menyebabkan mereka kekurangan amal kebajikan tatkala ditimbang.
 .
Dalam surah At-Takaatsur disebutkan neraka Jahim iaitu neraka Hawiyah yang tersebut dalam surah al-Qari’ah. Dibentangkan juga pertanyaan tentang amalan-amalan perbuatan manusia yang mereka lakukan semasa hidupnya dan sesetengah ini daripada urusan hari akhirat.
.
 .

B.    Sebab Nuzul (diturunkan) Surah

 .
Makkah
Surah At Takaatsur termasuk dalam kategori surah ‘Makkiyah’. Bermakna, ia diturunkan ketika Rasulullah SAW berada di kota Makkah. Pada ketika itu, bangsa Arab tengah dimabuk harta. Setiap orang berlumba-lumba mengumpul dan menambah harta sebanyak-banyaknya, bahkan tak kurang juga saling menunjukkan kelebihan dan harta kekayaan mereka.
 .
Menurut Ibn Abbas, al-Kalbi, Muqatil dan Syeikh An-Naisaburi, surah ini diturunkan oleh Allah SWT ketika kaum Quraisy Makkah saling membanggakan harta yang mereka miliki. Tepatnya, ketika keturunan Bani Abdul Manaf bersaing dengan keturunan Bani Saham. Kedua-dua keluarga itu dikenali sebagai golongan kaya yang menguasai masyarakat kafir Quraisy ketika itu. Kononnya hanya dengan harta yang mereka miliki sajalah dapat menunjukkan, kekuasaan, kesombongan dan keangkuhan mereka.
 .
Masing-masing juga mengaku puak mereka lebih ramai  bilangan berbanding  puak lawan, sehingga  membawa  mereka  ke tanah perkuburan untuk mengira kubur datuk nenek puak-puak mereka yang telah meninggal dunia di Makkah.
 .
 .
Madinah
Sebahagian ulama berpendapat Surah ini diturunkan di Madinah. Hujah mereka ialah riwayat Ibn Abu Hatim daripada Ibn Buraydah menyatakan ia diturunkan mengenai  kisah dua kabilah Ansar iaitu Bani Harisah dan Bani al-Haris yang bermegah-megah antara satu dengan yang  lain.  Mereka bermula dengan kemegahan orang-orang yang hidup, sehingga akhirnya membawa mereka sama-sama pergi ke perkuburan sambil menunjuk kepada kubur si polan dan si polan.
 .
Berkata Salah seorang daripada mereka:  “Apakah di kalangan kamu terdapat orang seperti ini dan itu?.”   Barkata yang satu lagi:  Apakah pada kamu ada orang seperti itu dan ini?”  Mereka berbangga-bangga dengan pelbagai kemegahan dalam kabilah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat pertama surah ini.
 .
.
Solusi
Bagaimanapun Ibn `Asyur berpendapat, dalil itu tidak mantap kerana maksud kami dalam     kenyataan Ubayy mungkin membawa maksud umat Islam di Makkah. Seterusnya beliau      menyatakan, surah At Takaatsur yang keras, serta tajuk surah yang menyelar orang yang bermegah-megah dengan harta dan puak, menunjukkan surah ini diturunkan mengenai kaum Musyrikin.  Orang mu`min pada masa itu terutama orang Ansar telah sekian lama terdidik supaya bersifat ‘qanaah’ dan tidak bermegah-megah dengan kelebihan sendiri.
 .
Bagaimanapun pada akhir zaman ini, kita dapat menyaksikan senario yang lebih kurang sama, bahkan dengan skala yang lebih luas. Bilamana sebelumnya penyakit itu hanya menjangkiti masyarakat kafir di kota Makkah, kini menular merasuk kebanyakan umat Islam di serata negara dunia. 
 .
.

C.    Fadhilat Surah At-Takaatsur

Antara fadhilat dan kelebihan surah ini, adalah:
  • Sesiapa yang mengamalkan membaca surah At Takaatsur sebanyak 1,000 kali, maka Allah SWT akan memenuhi hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat.
  • Sesiapa yang membaca At Takaatsur 100 kali, selepas solat Isyak hingga dia tertidur, InsyaAllah dia bakal dapat melihat Rasulullah SAW dalam tidurnya.
  • Ibnu Umar ra. meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak mampukah seseorang dari kamu sanggup membaca seribu ayat setiap hari?” Sahabat bertanya kembali: “Siapa yang boleh melakukan itu wahai Rasulullah?” Sabda Nabi SAW: “Tidakkah seseorang diantara kamu boleh membaca ‘Alhaakumuttakatsur’?”  (HR. Hakim dan Baihaqi)
  • Surah ini dibaca sebanyak 7 kali ketika hujan turun, Allah akan limpahkan kepada si pembacanya dengan pahala yang amat besar.
  • Sebagai ubat sakit kepala, bacalah surah ini selepas solat asar (sebelum maghrib). Pada waktu ini perbanyakkanlah membacanya. InsyaAllah segera sembuh.
  • Sesiapa melazimi membacanya, InsyaAllah dijadikan seorang yang kaya.
  • Jika dibaca pada air hujan, kemudian dicampurkan dengan air minuman, InsyaAllah boleh menjadi penawar yang mujarab. Sebaik-baiknya dibacakan sebanyak 100 kali atau lebih.
.
.
Clip Surah At-Takaatsur

 .
.

D.    Surah Peringatan

Surah At Takaatsur telah mengingatkan manusia supaya berwaspada dengan dunia dan bersedia untuk pemergian ke alam akhirat yang pasti tiba. Ringkasnya Surah At Takaatsur ini mengandungi:
 .
Pertama: Manusia dilalaikan oleh berlumba-lumba kerana mengejar harta kekayaan yang tidak pernah menjemukan, kedudukan yang selesa dan darjah kebesaran yang melekakan.
 .
Kedua:  Mengingatkan manusia dengan persoalan-persoalan yang bakal dihadapi di Akhirat tatkala di hisab semua amalan yang pernah dilakukan di dunia.  Mereka akan ditanya dari mana sumber kekayaan diperolehi, bagaimana harta diuruskan dan ke mana ia dihabiskan.  Manusia akan menghadapi saat-saat sukar jika gagal menjawab soalan-soalan ini dengan betul.
 .
Ketiga: Mengingatkan manusia dengan huru hara Qiamat, iaitu hari yang tidak berguna padanya harta dan kekayaan, kecuali yang diuruskan mengikut kehendak Allah dan Rasul-Nya.
 .
.

E.    Hadis Mengenai Harta

.
1.  Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah Bin Asy Syeikhkhir, ia berkata, “Anak keturunan Adam berkata: “Oh hartaku, oh harta ku.“ Padahal harta kamu (yang sebenarnya) hanyalah apa yang kamu makan lalu kamu menghabiskannya, atau apa yang kamu pakai lalu kamu menjadikannya usang (lusuh), atau apa yang kamu sedekahkan, maka kamu menetapkan (pahalanya).” (Hadis ini turut diriwayatkan oleh Muslim, At Tirmidzi dan An Nasa’i).
.
2.  lmam Bukhari meriwayatkan dari Anas Bin Malik, ia mengatakan bahawa Rasulullah bersabda: “Ada tiga yang akan mengiringi mayat, yang dua akan kembali sedangkan satunya ikut bersamanya. Ia diringi oleh keluarga, hartanya dan amalnya. Keluarga dan hartanya akan kembali, sedangkan amalnya tetap bersamanya.“ (HR Bukhari, Muslim, At Tirmidzi dan An Nasa’i).
.
3.  Imam Ahmad meriwayatkan dari Anas bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Anak keturunan Adam akan menjadi tua (dan lemah), dan yang tetap muda (tidak ikut tua) hanya dua iaitu keinginan terhadap harta dan harapan (agar umur panjang).“    (Hadis ini turut diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim).
.
4.  Rasulullah bersabda: “Ada dua kenikmatan di mana ramai orang tertipu olehnya, iaitu kesihatan dan masa lapang.” (HR Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)
 .
.
.

F.  Penutup

Ramai yang lalai dalam mensyukuri nikmat kesihatan dan masa lapang. Mereka tidak melaksanakan kewajipan atas kedua nikmat tersebut“Sesiapa tidak melaksanakan hak dari apa yang menjadi kewajipannya, maka ia tertipu.”
 .
Kita akan ditanya tentang kegiatan kita yang berlumba-lumba memperbanyakkan harta kekayaan dan bermegah-megah dengannya. Itulah tanggungjawab yang dipandang ringan oleh kebanyakan daripada kita dalam sedang leka menikmati kesenangan, tetapi akibatnya kita akan menanggung duka nestapa yang amat berat.
.
Dari Aisyah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda:  “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah al-Quran yang mulia.”
 .
Surah ini merupakan satu surah yang amat jelas maksudnya. Ia menyampaikan maksud secara langsung ke dalam hati manusia agar memberi perhatian yang berat kepada akhirat dan mengenepikan kenikmatan dunia yang remeh serta nikmat yang kecil, yang menjadi kegemaran mereka yang berjiwa kosong.
 .
Wallahu A’lam bishowab

Labels: islamik, tazkirah
Back To Top