Amaran! Jangan Sesekali Kita Masuk Tandas Tanpa Membaca Doa



Soalan:
Apakah maksud doa masuk tandas serta feqahnya ?

Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Nabi SAW merupakan insan yang mempunyai akhlak serta peribadi yang sangat mulia. Baginda SAW telah mengajar kita segala sifat-sifat yang terpuji melalui tutur katanya, peribadinya dan lain-lain lagi sehingga sekecil perkara dan sebesar perkara tidak sedikitpun baginda SAW abaikan. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status doa memasuki tandas serta feqah yang berkaitan dengannya.

Matan Hadith

  • Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ : ( اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ ).
Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 139]

Definisi Syaitan
Kalimah syaitan (شيطان) diambil daripada perkataan syathana (شَطَنَ) yang bermaksud menentang, menyalahi atau ingkar. Menurut Imam Ibnu Kathir pengertian syaitan menurut bahasa bermaksud jauh, iaitu jauh tabiaatnya daripada tabiaat manusia dan juga jauh dengan kefasikannya daripada setiap kebaikan. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/115]

Di samping itu, setiap makhluk samada daripada jin, manusia  dan juga haiwan yang mengingkari perintah Allah SWT serta menyeru kepada kejahatan dan jauh daripada segala kebaikan dinamakan syaitan. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا
Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya”. [al-An’am:112]

Nama-Nama Syaitan
Antara nama-nama syaitan  yang disebut di dalam hadith Nabi SAW:

  • Khanzab
Uthman bin Abi al-Asr telah mendatangi Rasulullah SAW, lalu beliau berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ . إنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ صَلَاتِيْ وَقِرَاءَتِيْ . يُلَبِّسُهَا عَلَيَّ . فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " ذَاْكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ . فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ . وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلَاثًا " فَقَالَ : فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللهُ عَنِّيْ ".
Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, aku sering diganggu oleh syaitan dalam solat sehingga bacaanku (bacaan dalam solat) menjadi kacau. Maka Rasulullah SAW bersabda: Itu adalah syaitan yang digelar Khanzab maka apabila engkau diganggu, mohonlah perlindungan kepada Allah SWT daripadanya. Setelah itu, ludahlah di bahagian kirimu sebanyak tiga kali. Aku pun melakukan hal tersebut, maka sejak dari itu Allah SWT telah menghilangkan gangguan tersebut daripadaku”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4083]

  • Al-Walahan
Daripada Ubaiy bin Ka’ab, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلْوُضُوْءِ شَيْطَانًا يُقَالُ لَهُ : الْوَلَهَانُ ، فَاتَّقُوْا وَسْوَاسَ الْمَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada setiap wudhu’ ada seekor syaitan yang bernama al-Walhan maka jauhilah kalian daripada was-was ketiak menggunakan air”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 52]. [Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini adalah gharib dan sanadnya dhaif (tidak kuat) menurut ahli hadith, kerana kami tidak mengetahui seorang pun yang menyandarkan hadith kecuali Kharijah. Hadith ini juga telah diriwayatkan dari beberapa jalur daripada perkataan al-Hasan dan tidak ada hadith yang sahih daripada Nabi SAW dalam bab ini. Tambahan pula, Kharijah riwayatnya tidak kuat disisi ashab kami dan beliau (Kharijah) dihukum sebagai dhaif (lemah) oleh Ibn Mubarak].

  • Qarin
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ما منكُم من أحدٍ إلَّا وقد وُكِّلَ بهِ قرينُهُ منَ الجنِّ . قالوا : وإيَّاكَ يا رسولَ اللَّهِ ؟ قال : وإيَّايَ إلَّا أنَّ اللَّهَ أعانَني علَيهِ فأسلَمَ فلا يأمرُني إلَّا بخيرٍ
Maksudnya: “Setiap daripada kamu diutuskan kepadanya Qarin (pendamping) daripada kalangan jin. Mereka berkata: Engkau juga wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Aku juga, tetapi Allah SWT telah membantuku daripadanya lalu ia (Qarin) masuk Islam. Selain itu, ia juga tidak meyuruhku atau memerintahku melainkan perkara kebaikan”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 5034]

  • Di sana terdapat nama-nama lain bagi anak-anak kepada iblis tetapi ia tidak mempunyai sandaran yang kukuh. Daripada Imam al-Munawi bahawa Mujahid berkata bagi Iblis lima orang anak dan setiap daripada mereka itu mempunyai tugas tertentu. Mereka adalah:

  • Syibr (شبر) tugasanya adalah membinasakan manusia dan menyeru kepada kejahilan.
  • Al-A’war (الأعور) pula tugasnya menggoda dan menyeru manusia kepada zina.
  • Sauth (سوط) tugasnya menggoda dan menyeru manusia kepada dusta.
  • Dasim (داسم) tugasnya adalah menimbulkan kekecohan dalam keluarga sehingga berlaku permusuhan.
  • Zalanbur (زلنبور) pula merupakan syaitan yang berada di pasar agar belaku penipuan dan juga perkara-perkara yang tidak baik. [Lihat: Faidh al-Qadir, 2/503]


Definisi al-Isti’azah
al-Isti’azah (الاستعاذة) atau al-Ta’awwuz (التعوذ) bermaksud memohon perlindungan daripada Allah SWT dari segala kejahatan dan keburukan. Maka apabila seseorang itu membaca isti‘azah ketika hendak memulakan bacaan al-Quran maka dia telah memohon perlindungan dan pemeliharaan Allah SWT.

Lafaz al-Isti’azah
Lafaz yang masyhur adalah  (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam”. [al-Nahl:98]

Di sana terdapat satu lagi cara bacaan al-Isti’azah iaitu (أعوذ بًالله السميع العليم من الشيطان الرجيم) berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abi Said al-Khudri, beliau berkata:

كان رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم إذا قام من الليل كبر ثم يقول سبحانك اللهم وبحمدك وتبًارك اسمك وتعالى جدك ولا إله غيرك ثم يقول لا إله إلا الله ثلاثا ثم يقول الله أكبر كبيرا ثلاثا أعوذ بًالله السميع العليم من الشيطان الرجيم من همزه ونفخه ونفثه ثم يقرأ
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW ingin bagun melakukan solat malam, Baginda SAW akan bertakbir kemudia Baginda SAW mengucapkan “Maha suci Engkau, ya Allah aku sucikan Engkau dengan memuji-Mu, maha berkat nama-Mu, maha luhur keluhuran-Mu dan tidak ada Tuhan selain Engkau. Kemudian Baginda SAW membaca “Tiada Tuhan melainkan Allah SWT” sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda SAW mengatakan Allah Maha Besar dengan Kebesaran-Nya yang agung sebanyak tiga kali. Kemudian baginda SAW membaca “أعوذ بًالله السميع العليم من الشيطان الرجيم” (Aku berlindung kepada Allah SWT, Dzat Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari godaan syaitan yang direjam dan juga daripada  kegilaan, kesombongan dan perkara-perkara yang dikeji. Kemudian Baginda SAW membaca (surah)”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 658]
Maksud al- al-Isti’azah secara umum
Aku berlindung kepada Allah SWT daripada Syaitan yang direjam serta kesesatan dan kemudharatan terhadap agama dan kehidupanku. Di samping itu, Engkau bantulah aku dalam melaksanakan segala yang Engkau perintahkan dan menjagaku daripada melakukan perkara yang Engkau larang.

Persoalan
Kenapa kita dituntut untuk beristi’azah sebelum memasuki tandas?

Para ulama’ telah menetapkan bahawa antara sebab mengapa dianjurkan kita meminta perlindungan kepada Allah SWT ketika  memasuki tandas adalah agar kita terlindung daripada syaitan-syaitan yang mendiami tempat-tempat najis dan tempat terbukanya aurat. Di dalam hadith daripada Zaid bin Arqam RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan, jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 5]

Penutup
Kesimpulannya, doa memasuki tandas adalah sabit daripada hadith Nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan di atas. Selain itu, kita juga dituntut untuk sentiasa memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan terutamanya daripada gangguan syaitan. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah terhadap apa jua perkara yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Amin.

Sumber: Mufti Wilayah

Labels: islamik, semasa, tazkirah
Back To Top