Remaja Muslim di hina dan dikasari oleh Penyokong Donald Trump di New York



NEW YORK – Kes kehilangan seorang remaja perempuan Islam yang mendakwa di Facebook pada 1 Disembar lalu bahawa dia dihina dan dikasari oleh penyokong bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di sebuah stesen kereta api bawah tanah di New York telah membakar emosi bukan sahaja komuniti Islam tetapi juga penduduk minoriti lain dan seluruh rakyat AS.
Yasmin Seweid, 18, dilaporkan hilang sejak Rabu lepas dengan dia kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya pada pukul 8 malam (waktu tempatan) 1 Disember lalu di New Hyde Park, Long Island.
Dia memakai jaket hitam, tudung, seluar ketat dan baju sejuk biru, demikian menurut maklumat polis.
Berdasarkan status Facebooknya, Yasmin memberitahu bahawa dia diganggu oleh tiga orang lelaki sekitar pukul 10 malam pada 1 Disember lepas ketika menaiki tren di stesen 23rd Street.
Dia diselar sebagai pengganas dan diarahkan kembali ke negara asalnya oleh kumpulan lelaki tersebut yang berulang kali menyebut nama Trump. Malah, mereka cuba menanggalkan tudung yang dipakainya yang disebut sebagai “guni”.
Status Facebook Yasmin menerima 2,700 reaksi dari pengguna laman sosial itu.
Dalam statusnya, Yasmin melahirkan rasa kecewa kerana penumpang lain hanya melihat kejadian itu dan tidak langsung membantunya.
“Saya kecewa kerana orang ramai hanya memilih saya diganggu kasar dan dikeji oleh tiga lelaki tidak berperikemanusiaan ini,” tulis Yasmin.
Dalam perkembangan terkini kelmarin, Polis Daerah Nassau memberitahu bahawa Yasmin selamat berdasarkan kenyataan keluarganya kepada stesen media tempatan, WCBS 880.
Akhbar tempatan, New York Post melaporkan bahawa Yasmin yang sedang menuntut di Kolej Baruch, Manhattan, tidak menghadiri kelas sejak 2 Disember lepas. – Bernama


Sumber: Kosmo Online
loading...

0 Response to "Remaja Muslim di hina dan dikasari oleh Penyokong Donald Trump di New York"

Post a Comment