Hukum Sambutan Maulidur Rasul


Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya.
 .
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.
Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid’ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Raja Al-Mudhaffar Abu Sa `id Kaukabri ibn Zainuddin Ali bin Baktakin (l. 549 H. w.630 H.),  penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang.
 .
Menurut Imam Al-Suyuthi tercatat sebagai raja pertama yang memperingati hari kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam ini dengan perayaan yang meriah luar biasa. Tidak kurang dari 300.000 dinar beliau keluarkan dengan ikhlas untuk bersedekah pada hari peringatan maulid Nabi atau juga disebut milad Nabi.
 .
Imam Al-Hafidz Ibnu Wajih menyusun kitab maulid yang berjudul “Al-Tanwir fi Maulidi al-Basyir al-Nadzir”. Konon kitab ini adalah kitab maulid pertama yang disusun oleh ulama.
.
.

Pendapat Ulama dan Mengenai Perayaan Maulidur Rasul

Undang-undang perayaan maulid telah menjadi topik perdebatan para ulama sejak lama dalam sejarah Islam, iaitu antara kalangan yang membenarkan dan yang melarangnya kerana dianggap bid’ah.
.
Untuk lebih jelas mengenai duduk persoalan undang-undang maulid ini, ada baiknya kita mentelaah sejarah pemikiran Islam tentang peringatan maulid ini dari pendapat para ulama terdahulu. Tentu saja tulisan ini tidak mengandungi semua pendapat ulama Islam, tetapi cukup ulama dominan yang boleh dijadikan rujukan untuk membuat sebuah peta pemikiran.
.
Di antara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;
.
1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah’. Antara lain beliau menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah  Shalallahu ‘alaihi wasalam. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya.”
.
2. Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail’, menyatakan; “Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala.”
.
3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa, “Dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi  Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
4. Al-Hafidz al-Iraqi dalam kitab Syarh Mawahib Ladunniyah mengatakanMelakukan perayaan, memberi makan orang disunnahkan tiap waktu, apalagi kalau itu disertai dengan rasa gembira dan senang dengan kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam pada hari dan bulan itu. Tidaklah sesuatu yang bid’ah selalu makruh dan dilarang, banyak sekali bid’ah yang disunnahkan dan bahkan diwajibkan.”
.
5. Ibnu Hajar al-Haithami berpendapat: “Bid’ah yang baik itu sunnah dilakukan, begitu juga memperingati hari maulid Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.”
.
6. Imam Suyuti berkata“Menurut saya asal perayaan maulid Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan NabiShalallahu ‘alaihi wasalam sejak kelahirannya sampai perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dinikmati bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong bid’ah hasanah. Orang yang melakukannya diberi pahala kerana mengagungkan darjat Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam, menampakkan suka cita dan kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhamad Shalallahu ‘alaihi wasalam yang mulia.”
.
7. Syeh Azhar Husnain Muhammad Makhluf berkata: “Menghidupkan malam maulid nabi dan malam-malam bulan Rabiul Awal ini adalah dengan memperbanyak zikir kepada Allah, memperbanyak syukur dengan nikmat-nikmat yang diturunkan termasuk nikmat dilahirkannya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di alam dunia ini. Memperingatinya sebaiknya dengan cara yang santun dan khusyuk’ dan menjauhi hal-hal yang dilarang agama seperti amalan-amalan bid’ah dan kemungkaran. Dan termasuk cara bersyukur adalah menyantuni orang-orang susah, menjalin silaturrahim. Cara itu walaupun tidak dilakukan pada zaman Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dan tidak juga pada masa salaf terdahulu tetapi baik untuk dilakukan termasuk sunnah hasanah.”
.
8. Pendapat Abu Shamah (guru Imam Nawawi) menyatakan: “Termasuk yang hal baru yang baik dilakukan pada zaman ini adalah apa yang dilakukan setiap tahun bertepatan pada hari kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dengan memberi sedekah dan kebaikan, menunjukkan rasa gembira dan bahagia, sesungguhnya itu semua ini yang membantu fakir miskin adalah tanda kecintaan kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam dan penghormatan kepada beliau, begitu juga merupakan bentuk syukur kepada Allah atas diutusnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam kepada seluruh alam semesta.”
.

9. Pendapat Ibnu Taymiyah

.
Ibnu Taymiyah dalam kitab Iqtidla’-us-Syirat al-Mustaqim (2/83-85) mengatakan: “Rasululullah Shalallahu ‘alaihi wasalam telah melakukan kejadian-kejadian penting dalam sejarah beliau, seperti khutbah-khutbah dan perjanjian-perjanjian beliau pada hari Badar, Hunain, Khandaq, pembukaan Makkah, Hijrah, Masuk Madinah. Tidak seharusnya hari-hari itu dijadikan hari raya, kerana yang melakukan seperti itu adalah umat Nasrani atau Yahudi yang menjadikan semua kejadian Isa hari raya. Hari raya merupakan sebahagian dari syariat, apa yang disyariatkan itulah yang diikuti, kalau tidak maka telah membuat sesuatu yang baru dalam agama. Maka apa yang dilakukan orang memperingati maulid, antara mengikuti tradisi Nasrani yang memperingati kelahiran Isa, atau kerana cinta Rasulullah. Allah mungkin akan memberi pahala atas kecintaan dan ijtihad itu, tapi tidak atas bid’ah dengan menjadikan maulid nabi sebagai hari raya. Orang-orang salaf tidak melakukan itu padahal mereka lebih mencintai rasul.”
.
Namun dalam bahagian lain di kitab tersebut, Ibnu Taymiyah menambah:  “Merayakan maulid dan menjadikannya sebagai kegiatan rutin dalam setahun yang telah dilakukan oleh orang-orang, akan mendapatkan pahala yang besar sebab tujuannya baik dan mengagungkan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Seperti yang telah saya jelaskan, kadang-kadang sesuatu itu baik bagi satu kalangan orang, padahal itu dianggap kurang baik oleh kalangan mu’min yang ketat. Suatu hari pernah ditanya kepada Imam Ahmad tentang tindakan salah seorang pegawai yang menyedekahkan wang 100 dinar untuk membuat mushaf Quran, beliau menjawab: “Biarkan saja, itu cara terbaik bagi dia untuk menyedekahkan emasnya”. Padahal mazhab Imam Ahmad mengatakan bahawa menghiasi Qur’an hukumnya makruh. Tujuan Imam Ahmad adalah bahawa pekerjaan itu ada maslahah dan ada mafsadahnya juga, maka dimakruhkan, akan tetapi apabila tidak dibenarkan, mereka itu akan membelanjakan wangnya untuk kerosakan, seperti membeli buku porno dan sebagainya.”
.
Fahamilah dengan cerdas hakikat agama, lihatlah permasalahan dalam setiap pekerjaan dan kerosakannya, sehingga kamu mengetahui peringkat kebaikan dan keburukan, sehingga pada saat terdesak anda boleh memilih mana yang paling penting, inilah hakikat ilmu yang diajarkan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Membezakan jenis kebaikan, jenis keburukan dan jenis dalil itu lebih mudah. Sedangkan mengetahui peringkat kebaikan, peringkat keburukan dan peringkat dalil itu pekerjaan para ulama.
.
.
Seterusnya Ibnu Taymiyah menjelaskan peringkat amal soleh  itu ada tiga.
 .
Pertama, Amal soleh yang masyru’ (diajarkan) dan di dalamnya tidak ada kemakruhan sedikitpun. Inilah sunnah murni dan hakiki yang wajib dipelajari dan diajarkan dan inilah amalan orang soleh terdahulu dari zaman muhajirin dan anshor dan pengikutnya.
 .
Kedua, Amal soleh dari satu sisi, atau sebahagian besar sisinya mengandungi amal soleh seperti tujuannya misalnya, atau mungkin amal itu mengandungi pekerjaan baik. Amalan-amalan ini banyak sekali ditemui pada orang-orang yang mengaku golongan agama dan ibadah dan dari orang-orang awam juga. Mereka itu lebih baik dari orang yang sama sekali tidak melakukan amal soleh, lebih baik juga daripada orang yang tidak beramal sama sekali dan lebih baik daripada orang yang amalannya dosa seperti kafir, dusta, khianat, dan bodoh.
 .
Orang yang beribadah dengan ibadah yang mengandungi larangan seperti berpuasa lebih sehari tanpa buka (wisal), meninggalkan kenikmatan tertentu (mubah yang tidak dilarang), atau menghidupkan malam tertentu yang tidak perlu dikhususkan seperti malam pertama bulan Rejab, kadang-kadang mereka itu lebih baik dari pada orang pengangguran yang malas beribadah dan melakukan ketaatan agama. Bahkan ramai orang yang membenci amalan-amalan seperti ini, ternyata mereka itu kedekut dalam melakukan ibadah, dalam mengamalkan ilmu, beramal soleh, tidak suka kepada amalan dan tidak simpati kepadanya, tetapi tidak juga menghantarkannya kepada kebaikan, misalnya menggunakan kemampuannya untuk kebaikan. Mereka ini tingkah lakunya meninggalkan hal yang masyru’ (dianjurkan agama) dan yang tidak masyru’ (yang tidak dianjurkan agama), akan tetapi sebutan dan perkatannya menentang yang tidak masyru’.
 .
Ketiga, Amalan yang sama sekali tidak mengandungi kebaikan, kerana meninggalkan kebaikan atau mengandungi perkara yang dilarang agama. (Ini hukumnya jelas).
.
.
10. Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitab Fatawa Kubro menjelaskan: “Asal melakukan maulid adalah bid’ah, tidak diriwayatkan dari ulama salaf dalam tiga abad pertama, akan tetapi di dalamnya terkandung kebaikan-kebaikan dan juga kesalahan-kesalahan. Sesiapa melakukan kebaikan di dalamnya dan menjauhi kesalahan-kesalahan, maka ia telah melakukan bid’ah yang baik (bid’ah hasanah). Saya telah melihat landasan yang kuat dalam hadis sahih Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam datang ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka beliau bertanya kepada mereka, dan mereka menjawab: “Itu hari di mana Allah menenggelamkan Firaun, menyelamatkan Musa, kami berpuasa untuk mensyukuri itu semua. Dari situ dapat diambil kesimpulan bahawa boleh melakukan syukur pada hari tertentu di situ berlaku nikmat yang besar atau terjadi penyelamatan dari mara bahaya dan dilakukan itu tiap bertepatan pada hari itu. Syukur boleh dilakukan dengan pelbagai macam ibadah, seperti sujud, puasa, sedekah, membaca al-Quran dll. Apa nikmat yang paling besar selain kehadiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam di muka bumi ini. Maka sebaiknya merayakan maulid dengan melakukan syukur berupa membaca Qur’an, memberi makan fakir miskin, menceritakan keutamaan dan kebaikan Rauslullah yang boleh menggerakkan hati untuk berbuat baik dan amal soleh. Adapun yang dilakukan dengan mendengar muzik dan bermain alat muzik, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum pekerjaan itu, kalau itu mubah maka hukumnya mubah, kalau itu haram maka hukumnya haram dan kalau itu kurang baik maka begitu seterusnya.”
 .
11. Seorang ulama Turkmenistan Mubasshir al-Thirazi mengatakan: “Mengadakan perayaan maulid Nabi Muhammad Shalallahu ‘alaihi wasalam saat ini boleh jadi merupakan kewajipan yang perlu kita laksanakan, untuk mengatasi perayaan-perayaan kotor yang sekarang ini sangat banyak kita dapati di masyarakat.”
 .
.
Dalil-dalil yang membenarkan melakukan perayaan Maulid Nabi Shalallahu ‘alaihi wasalam:
1. Anjuran bergembira atas rahmat dan kurnia Allah kepada kita. Allah SWT berfirman:

قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (QS.Yunus: 58).
 .
2. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam sendiri mensyukuri atas kelahirannya. Dalam sebuah Hadis dinyatakan:

 عَنْ أَبِيْ قَتَادَةَ الأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ الْإِثْنَيْنِ فَقَالَ فِيْهِ وُلِدْتُ وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ . رواه مسلم

Dari Abi Qatadah al-Anshori RA sesungguhnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam pernah ditanya mengenai puasa hari Isnin. Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam menjawab: “Pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.”  (HR Muslim, Abud Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Syaibah dan Baghawi).
 .
3. Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Tsuwaybah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam. Jika Abu Lahab yang bukan muslim dan al-Quran jelas mencelanya, diringankan seksanya lantaran ungkapan kegembiraan atas kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam, maka bagaimana dengan orang yang beragama Islam yang gembira dengan kelahiran Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam.
 .
.

Kesimpulan Hukum Meraikan Maulidur Rasul

 .
Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan daripada membiarkan hari-hari berlalu dengan kelekaan duniawi.
 .
Kita juga dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira masa dan di bulan manapun di sepanjang tahun. Dalam mengerjakan sesuatu amalan, kualiti ibadah juga perlulah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat.
 .
Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam sendiri dalam sebuah haditsnya pernah bersabda.

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كان هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ.

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan (amal) bergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya.”
.
Niat itu akan menggambarkan keikhlasan. Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kepuasan yang seterusnya akan menghasilkan ketenangan dunia dan akhirat.
.
Moga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat agar mempunyai bekalan untuk dibawa ke perkampungan Akhirat kelak, InsyaAllah.


.
.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
loading...

0 Response to "Hukum Sambutan Maulidur Rasul"

Post a Comment